Monday, April 25, 2011

UiTM beri status autonomi 4 kampus

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) memberi status autonomi kepada empat kampus cawangannya sebagai usaha memberikan kebebasan pengurusannya mentadbir urus pentadbirannya dengan lebih cekap dan berkesan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar. berkata keempat-empat kampus berkenaan ialah UiTM cawangan Dungun, Terengganu; Arau (Perlis); Seri Iskandar (Perak) dan Kota Samarahan (Sarawak).
Beliau berkata, status autonomi itu membolehkan keempat-empat kampus cawangan berkenaan lebih bebas dalam aspek pentadbiran kampus masing-masing, pengurusan hal akademik dan pelajar, pengurusan kewangan dan penjanaan pendapatan serta pembangunan sumber manusia.
Bagaimanpun, katanya, status autonomi tidak bermakna kampus berkenaan beroperasi sendiri atau tidak bertanggungjawab kepada Naib Canselor.

“Dari segi bajet contohnya, kampus autonomi masih mendapat dana menerusi UiTM Kampus Induk Shah Alam yang bajetnya disalurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kampus berkenaan boleh membuat keputusan sendiri membabitkan pembelian kenderaan, pengambilan pelajar dan pensyarah sambilan serta kakitangan tetap, memilih klinik panel dan mengadakan konvokesyen sendiri,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Katanya, keempat-empat kampus autonomi itu mempunyai kira-kira 40,000 pelajar, iaitu kira-kira 20 peratus daripada 200,000 pelajar UiTM seluruh negara.
Beliau berkata, semua kampus autonomi itu juga ditadbir rektor yang mempunyai rekod pentadbiran cemerlang dan mampu bertindak tanpa pengawasan kampus induk.

Sahol Hamid berkata, pihaknya bercadang memberi status sama kepada tiga lagi kampus cawangannya, iaitu Merbok, Kedah; Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan Lendu (Melaka),” katanya.

Komen Anda

0 Responses to "UiTM beri status autonomi 4 kampus"